Tempat Menarik

Tempat-tempat yang perlu anda lawati di Cameron Highlands:-

Ladang Teh

Di sini anda boleh menikmati keindahan landskap ladang teh yang menghijau berlatarbelakang gunung ganang yang terdapat di Banjaran Titiwangsa. Terdapat kafe untuk anda menikmati kesegaran teh asli Cameron Highlands dan anda juga berpeluang melawat ke dalam kilang memproses teh. Antara lading teh yang terdapat di Cameron Highlands adalah Ladang Teh Boh Sungai Palas, Ladang Teh Boh Habu, Ladang Teh Cameron Valley Kuala Terla dan Ladang Teh Cameron Valley berhampiran Tanah Rata.

Ladang Strawberi

Terdapat banyak ladang strawberi di Cameron Highlands. Antara yang paling popular adalah ladang strawberi yang terletak di Taman Sedia. Selain itu, anda boleh berkunjung juga ke Royal Berry Strawberry Farm di Kea Farm atau Al Mashoor Strawberries yang terletak berhampiran Kuala Terla. Di sini anda boleh bergambar, memetik strawberi sendiri, menikmati makanan dan minuman berasaskan strawberi di samping teh dan scone yang terkenal di Cameron Highlands.

Puncak Gunung Brinchang

Anda perlu melalui perjalanan lebih 10km dengan kenderaan anda untuk sampai ke sini. Laluan beliku, curam, sempit dan sangat mendebarkan. Tidak ramai yang mampu sampai ke sini. Jika anda berjaya, pemandangan cantik dan cuaca sejuk dan berangin sedang menanti anda di sini. Ini adalah jalan berturap tertinggi yang boleh digunakan kenderaan di Malaysia!

Hutan Simpan Mossy Forest

Terletak di Puncak Gunung Brinchang, terdapat laluan kayu dan pondok-pondok untuk anda berehat sambal menikmati keindahan hutan berlumut yang berusia ratusan tahun dalam suasana dingin dan berangin. Anda pasti tidak akan menyesal sekiranya berkunjung ke sini. Bawa bekalan makanan dan minuman kerana di sini tidak terdapat kedai dan juga tandas awam.

MARDI

Tempat menarik untuk seisi keluarga. Bolehlah dikatakan semua yang terdapat di Cameron Highlands, terdapat di sini. Dari ladang dan kilang teh, strawberi, sayur-sayuran, bunga-bunga, sehinggalah pokok-pokok epal dapat dilihat di sini. Terdapat juga kedai makan dan pusat jualan hasil tanaman, cenderahati, produk berasaskan the dan strawberi dan bermacam-macam lagi.

Taman Sedia

Kawasan perkampungan tradisional Melayu yang masih wujud sehingga kini. Masih terdapat rumah-rumah kayu lama yang kebanyakannya dijadikan homestay. Terdapat juga ladang-ladang strawberi dan sayur-sayuran yang ditanam secara kecil-kecilan yang mengindahkan suasana di Taman Sedia. Jangan lupa berhenti rehat di sini kerana terdapat banyak kedai makan yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman termasuk makanan yang berasaskan strawberi.

Air Terjun

Terdapat beberapa lokasi air terjun yang menarik di sini termasuk Parit Falls and Robinson waterfalls di Tanah Rata dan Lata Iskandar di Jalan Tapah – Cameron Highlands.

Laluan Hutan

Terdapat laluan hutan yang menarik sekiranya anda penggemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung. Antara gunung yang boleh didaki di sini adalah Gunung Brinchang, Gunung Irau, Gunung Jasar dan Gunung Berembun. Dapatkan nasihat pakar / Jabatan Perhutanan sebelum anda mendaki atau dapatkan penunjuk arah untuk keselamatan anda.

Pasar Malam Brinchang

Tarikan utama pelancong tempatan ke Cameron Highlands. Pelbagai hasil tanaman Cameron Highlands dijual di sini. Terdapat juga kedai makan, jualan cenderahati dan lain-lain lagi.

Cactus Shop

Sebut nama pun dah tau. Banyak kaktus dipamerkan dan dijual di sini. Sebenarnya terdapat banyak kaktus dijual di kedai-kedai sepanjang jalan di Cameron Highlands. Di pasar malam pun ada.

Taman Rama-rama

Pelbagai jenis rama-rama dipamerkan di sini. Selain rama-rama, terdapat juga binatang-binatang lain yang dijadikan bahan pameran. Antaranya adalah ular, pelbagai jenis serangga, burung dan lain-lain lagi. Anda juga boleh bergambar kenangan dengan binatang-binatang di sini.

Muzium Terowong Masa

Satu muzium yang mempamerkan pelbagai bahan sejarah yang menarik untuk anda lawati. Memang pun. Dah nama pun muzium kan.

Ladang Lebah

Sekiranya berkesempatan, anda boleh meluangkan masa melawat Ladang Lebah atau Bee Farm. Ada 2 atau 3 ladang di sini yang boleh anda lawati. Tapia awas, ada juga madu lebah tiruan yang dijual di Cameron Highlands.

Orchid dan Ros

Banyak tanaman-tanaman orkid dan bunga ros ditanam dijual di sini. Anda boleh singgah di kedai-kedai di sepanjang jalan sekiranya berminat untuk membelinya.